Pengenalan bas mini untuk kawasan kurang penumpang
Astro Awani
Ogos 29, 2019 18:00 MYT
Ogos 29, 2019 18:00 MYT
Pengenalan bas mini adalah untuk kawasan kurang penumpang selain sukar dilalui bas panjang sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), Muhammad Yazurin Sallij berkata, ia sekali gus penyelesaian destinasi daripada kediaman ke lokasi penyambungan pengangkutan awam yang lain.
"Kenapa kita hendak buat percubaan, kita hendak melihat perkhidmatan bas penyambung dan kesediaannya untuk sampai kepada pengguna.
"Sebagai contoh, ada tempat yang sukar untuk sampai, di sesetengah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ada bas yang tidak sampai kerana kereta yang parkir di luar.
"Bas sedia ada tidak akan sampai jadi itulah sebabnya ada bas lebih kecil untuk sampai di lokasi berkenaan," katanya semasa sidang media memperkenalkan bas mini Rapid di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, Rapid Bus dilaporkan akan menjalankan perkhidmatan percubaan untuk laluan T300.
Laluan yang terlibat bagi percubaan ini adalah dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, melalui Jalan Rasmi.
Perkhidmatan percubaan ini akan menggunakan tiga bas mini dan dilaksanakan dari 1 September sehingga 29 November 2019.
Dalam pada itu kata Muhammad Yazurin, orang ramai diminta memberi maklum balas terhadap perkhidmatan bas mini yang akan diperkenalkan nanti.
Setiap bas mini yang digunakan di dalam percubaan ini, mempunyai kapasiti untuk membawa kira-kira 31 penumpang dan akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (waktu bukan puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.