Pengemudi bot yang hilang di Selat Melaka ditemui mati

Bernama
Februari 14, 2013 22:43 MYT
Pengemudi bot yang dilaporkan hilang dalam kemalangan melibatkan dua buah bot di perairan Selat Melaka dekat Pantai Puteri Tanjung Kling Selasa lepas ditemui mati hari ini.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata mayat Mohd Nasier Othman, 21, ditemui sekumpulan nelayan dalam keadaan terapung pada 6.50 petang tadi.
"Mayat mangsa ditemui tidak jauh dari terminal gas asli cecair (LNG) Petronas di perairan berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam Selasa lepas, mangsa dari Teluk Kemang Port Dickson, Negeri Sembilan sedang membawa tujuh pekerja Petronas dari jeti KNM Pengkalan Perigi ke terminal gas asli LNG sejauh tiga kilometer.
Bagaimanapun selepas perjalanan kira-kira satu kilometer, bot fiber dikendali mangsa kemudian bertembung dengan sebuah lagi bot membawa 11 penumpang menyebabkan mangsa terjatuh ke laut.
#kemalangan #mati #pengemudi bot #Petronas #Selat Melaka
;