Pengemis Rohingya: "Kita tak sampai hati hantar mereka balik begitu sahaja"- Saifuddin
Rahimah Abdullah
Februari 19, 2019 16:44 MYT
Februari 19, 2019 16:44 MYT
Kerajaan tetap memberi perhatian kepada kebimbangan dan ketidakselesaan masyarakat terhadap sesetengah pelarian Rohingya yang mengemis di negara ini berikutan tiada punca pendapatan, ujar Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Tegasnya, Malaysia tidak akan menghantar pulang kumpulan etnik itu selagi keselamatan mereka terancam di negara asal.
"Kita faham tentang kerisauan masyarakat tempatan. Cumanya itulah, kita tak sampai hati dan kita takkan hantar mereka balik begitu sahaja," katanya dalam sidang media selepas melawat Rohingya Education Centre Klang di sini pada Selasa.
Bagaimanapun itu, negara tetap berpendirian usaha membawa mereka pulang tetap dilakukan selepas perkara-perkara berbangkit dapat diselesaikan.
"Proses repatriasi (bawa pulang) pun kita nak berlaku sesegera mungkin. Namun, yang nak balik ini ialah Rohingya dan mereka ada sebab kenapa mereka tidak balik. Selagi mereka tidak berasa selamat, mereka tidak akan balik," ujarnya.
Saifuddin berkata, selagi penjenayah terlibat tidak dihukum, mereka tidak akan berasa selamat dan memerlukan perlindungan di Malaysia.
"Apa yang menyebabkan mereka rasa selamat adalah apabila mereka rasa bahawa tidak ada lagi penjenayah. Selagi penjenayah tidak dihukum, mereka tidak rasa selamat. Jadi, akan datang bertambah lagi dan sebagainya.
"Mereka bukan tidak mahu balik, majoriti mahu balik. Namun yang menghalang mereka ialah curiga mereka kerana rasa tak selamat," ujarnya.
Beliau percaya sebagai langkah segera bagi menangani isu pengemis kalangan Rohingya buat masa ini, pihak berwajib seperti Pihak Berkuasa tempatan (PBT) akan terus menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Untuk rekod, lebih 88 ribu pelarian yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) berada di Malaysia.