Pengemis kudung warga Thailand raih RM100 kurang 3 jam

Sinar Harian
Mac 29, 2023 16:57 MYT
OKU warga Thailand antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Banteras Pengemis dan Gelandangan, di sini pada Selasa. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pengemis warga Thailand yang kudung sebelah kaki memperoleh hasil lumayan lebih RM100 dalam tempoh kurang tiga jam dengan mengemis di kaki lima sebuah bank di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada Selasa.
Orang kurang upaya (OKU) berusia 49 tahun dari Narathiwat itu tiba di Pengkalan Kubor, Tumpat dengan menaiki feri menyeberangi Sungai Golok pada hari kedua umat Islam berpuasa Jumaat lalu kononnya mahu mengutip ‘zakat’ sempena Ramadan tahun ini.
“Saya cakap yang betul, datang ke sini nak ambil zakat buat belanja sebab saya susah dan tidak dapat bekerja untuk menyara keluarga.
“Isteri saya sakit di Thailand dan saya pula menghidap kencing manis menyebabkan kaki kiri separas lutut dipotong dan jari-jari tangan pula membengkok akibat sakit saraf,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
OKU tersebut antara 14 termasuk tujuh warga Thailand yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Banteras Pengemis dan Gelandangan, di sini pada Selasa.
Operasi melibatkan pegawai dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut lelaki itu, dia sedar kehadiran pihak berkuasa namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana sakit dan terpaksa menyerah diri.
“Saya menumpang di rumah saudara di Kedai Lalat dan kebetulan semalam kami keluar minum air dan melihat ada tiga peminta sedekah lain sedang duduk di kawasan ini.
“Saudara saya cadang saya duduk sini dan hari ini, dia hantar saya ke sini pada jam 9 pagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki warga Thailand berusia 56 tahun yang mengemis di kaki lima sebuah bank di Jalan Temenggong, di sini mendakwa memperoleh pendapatan lebih RM100 setiap hari hasil jualan kerepek.
“Saya tinggal di sini sejak bah kuning pada 2014.
“Dulu saya bekerja membawa van pengangkutan barangan dan pernah kemalangan hingga pecah tempurung kepala,” dakwanya.
Pada Selasa, akhbar melaporkan ‘tradisi’ sejak 1970-an iaitu pengemis dari Thailand kembali membanjiri Kelantan dengan menggunakan taktik licik berpakaian lusuh dan membawa kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai
Mereka dipercayai mampu memperoleh ribuan ringgit hasil sebulan mengemis dan jumlah golongan ini dijangka meningkat lebih tinggi pada penghujung Ramadan serta menjelang Aidilfitri. -Sinar Harian
#Operasi Bersepadu Banteras Pengemis dan Gelandangan #pengemis warga Thailand #kudung sebelah kaki #mengemis di kaki lima
;