Pengembara tiba dari Sabah tidak perlu jalani kuarantin jika negatif, mulai 25 November

Fareez Azman
November 24, 2020 16:02 MYT
Jika didapati negatif, pengembara itu tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain bermula 25 November ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagaimanapun jika didapati negatif, pengembara itu tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.
"Sekiranya mereka ini positif ujian pengesanan COVID-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah. Bagi yang positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan. Manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.
"Seterusnya bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Ujar Dr Adham, keputusan itu diambil selepas mendapat persetujuan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 November lalu.
Ia susulan semakan semula prosedur saringan kesihatan bagi pengembara dari Sabah mendapati jumlah penurunan kes positif COVID-19 direkodkan.
"Merujuk kepada laporan mingguan kes positif COVID-19 jelasnya, peningkatan kes dicatatkan di Lembah Kelang sebanyak 3041 kes bersamaan 270 peratus peningkatan berbanding 3073 kes di Sabah bersamaan penurunan 32.4 peratus," katanya lagi.
#Majlis Keselamatan Negara #COVID-19 #Saringan COVID-19 #Media #Dr Adham Baba #Pengembara dari Sabah #Sabah #negeri lain #Semenanjung Malaysia #pintu masuk negara #lapangan terbang
;