Pengembara telah divaksin dan remaja bawah 17 tahun tidak perlu kuarantin - KJ
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 9, 2022 15:32 MYT
Mac 9, 2022 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19 serta individu berusia 17 tahun ke bawah tidak perlu menjalani kuarantin susulan pelaksanaan fasa peralihan endemik mulai 1 April ini tanpa mengira status vaksinasi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun golongan terbabit masih perlu menjalani ujian RTK antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.
Namun jelasnya mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin itu.
"Individu belum lengkap vaksinasi itu mesti mengikut syarat ditetapkan kerajaan, contohnya tidak boleh 'dine-in' (makan) di restoran kerana tidak menerima vaksinasi lengkap.
"Bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, individu terbabit perlu memuat naik bukti pengecualian diberikan pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan fasa peralihan endemik negara mulai 1 April ini, dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diperluas di semua peringkat.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga memperkenalkan dan melancarkan portal covidprotocol.gov.my mulai hari ini yang akan memuatkan protokol individu berkaitan COVID-19.
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#Khairy Jamaluddin
#KKM
#Malaysia
#MySejahtera
#Parlimen
#Perdana Menteri
#SOP
#vaksin