Pengembara tak buat ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam boleh diusir - Khairy
Hasimi Muhamad
Mac 24, 2022 19:24 MYT
Mac 24, 2022 19:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengembara yang tidak melakukan ujian RTK-Ag profesional COVID-19 apabila memasuki Malaysia pada 1 April ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata tindakan mengusir individu terbabit boleh dilakukan jika mereka tidak melakukan ujian tersebut dalam tempoh 24 jam.
Selain itu, beliau menambah status aplikasi MySejahtera pengembara terbabit akan bertukar merah dan mereka tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis di negara ini.
“Ujian RTK-Ag itu mesti dibuat secara profesional sebab ia dimasukkan dalam MySejahtera. Hanya makmal bertauliah sahaja boleh buat dan masukkan dalam MySejahtera.
“Kalau mereka tak buat status mereka akan bertukar kepada merah dan tak boleh masuk ke kedai makan. Yang paling pentingnya mereka telah lakukan kesalahan dan boleh diusir keluar (dari negara),” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Terdahulu, Khairy dalam sidang media yang sama mengumumkan beberapa protokol am bagi pengembara yang akan memasuki Malaysia pada 1 April ini.
Ia termasuk pengembara tempatan atau warga asing yang memasuki negara tidak lagi perlu melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara serta-merta di pintu masuk negara.
Bagaimanapun, pengembara tempatan atau warga asing masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19, namun diberi tempoh 24 jam untuk berbuat demikian selepas memasuki negara.