Pengembara dari Indonesia tiba di Malaysia catat kes positif tertinggi COVID-19

Fareez Azman
Ogos 28, 2020 16:30 MYT
Dr Noor Hisham memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan media pada Jumaat. Gambar/ BERNAMA
Seramai 904 daripada 106,793 individu yang tiba di Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa dikesan positif COVID-19, dengan kes dari Indonesia merekodkan bilangan tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan berkata jumlah itu mewakili 0.85 peratus daripada jumlah keseluruhan mereka yang tiba sehingga semalam.
"Tiga negara yang mencatatkan kes tertinggi adalah dari Indonesia iaitu sebanyak 295 kes (32.6 peratus), diikuti Mesir (93 kes) (10.3 peratus) dan Singapura (70 kes) (7.7 peratus)," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam di PMA negara bagi memastikan jangkitan COVID-19 dari luar negara dapat disekat.
Katanya, semua individu yang tiba di negara ini perlu menjalani saringan kesihatan, pengambilan ujian swab dan memuat turun aplikasi MySejahtera selain menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, KKM menasihatkan semua pihak mengelak menghadiri perhimpunan besar-besaran dan mengikut norma baharu.
"Cuti hujung minggu ini adalah panjang (sempena Hari Kemerdekaan). Justeru, masyarakat disarankan untuk mengelakkan hadir ke sebarang perhimpunan besar-besaran dan mengikut norma baharu.
"KKM juga menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka adalah diwajibkan di tempat yang sesak dan sempit oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020," katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah #individu #Indonesia #Kementerian Kesihatan #KKM #Majlis Keselamatan Negara #Mesir #Pengembara #Pintu Masuk Antarabangsa #positif COVID-19 #rakyat #Singapura #SOP
;