Pengembalian autonomi Parlimen sebahagian besar reformasi institusi Madani - PM

Firdaus Azil
Mac 4, 2025 15:32 MYT
Anwar berkata, Kerajaan MADANI membawa pentadbiran negara kembali ke landasan yang betul dengan penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025. -Bernama
KUALA LUMPUR: Pemansuhan perkhidmatan Parlimen pada 1992 melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah mewujudkan kesan sampingan iaitu penghakisan autonomi badan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Pemansuhan perkhidmatan Parlimen pada 1992 menghakis autonomi Parlimen, dan Kerajaan kini mahu mengembalikannya.
  • Kerajaan MADANI menggubal Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk memperkukuh autonomi Parlimen.
  • Pindaan ini bertujuan memastikan Parlimen berfungsi lebih berkesan, menjaga kepentingan rakyat, dan mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara.

Beliau berkata, Kerajaan hari ini mahu mengembalikan autonomi tersebut, kerana ia memperkukuh prinsip dan doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa, dan berdaya saing.
Selepas tiga dekad lamanya, Anwar berkata, Kerajaan MADANI membawa pentadbiran negara kembali ke landasan yang betul dengan penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Dengan autonomi yang diperkukuh, Parlimen akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, menjaga kepentingan rakyat serta mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara,” tegasnya lagi.
Terdahulu Perdana Menteri berkata, pindaan tersebut adalah satu melangkah reformasi besar dalam institusi Parlimen negara dan dalam usaha kerajaan meneruskan tindakan dan langkah-langkah reformasi institusi dalam negara.
Beliau berkata, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang dibentangkan bakal menjadi asas kepada penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen.
“Konsep pemisahan kuasa terletak pada keseimbangannya - tanpa kawalan berlebihan oleh mana-mana pihak, keadilan dapat ditegakkan, kebebasan dipelihara, dan kuasa tidak disalahgunakan.
“Ini dianggap pemerintahan yang telus dan berintegriti. Dan ini juga disebut tentang keperluan menegakkan prinsip pemisahan kuasa yang jelas,” katanya lagi.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan terdapat cadangan untuk menambah baik keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Jelas Perdana Menteri, perkara itu sebenarnya boleh dibuat tanpa pindaan kepada RUU tersebut dengan menggunakan peraturan mesyuarat 76, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Ini seperti yang diberikan kefahaman oleh Penasihat Undang-Undang memadai untuk menjamin bukan sahaja kebebasan tetapi jugak perwakilan daripada Pembangkang.
"Namun, setelah mendengar dalam beberapa acara sesi libat urus termasuk dengan wakil-wakil Pembangkang …
“… Kerajaan setuju untuk membuat pindaan dalam Jawatankuasa pada hari ini atau esok sekiranya RUU ini diluluskan oleh dewan dengan memasukkan pindaan bertujuan memperuntukan bagi penetapan proses bagi pelantikan dua Senator, empat Ahli Parlimen ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen termasuk dua wakil daripada Pembangkang,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, pelantikan ini akan dibuat oleh jawatankuasa pemilih dan kelulusan oleh dewan masing-masing.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Madani #RUU Parlimen #Majlis Parlimen Malaysia
;