Pengeluaran KWSP: 'Rakyat nak sekarang, bukan 15 tahun lagi' - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
Mac 7, 2023 17:01 MYT
Ismail Sabri berkata, apa yang pencarum minta adalah untuk kegunaan sekarang, dan bukannya untuk 15 tahun lagi. -Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan adalah tidak wajar untuk kerajaan 'menutup pintu' mengenai rayuan rakyat untuk mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang pencarum minta adalah untuk kegunaan sekarang, dan bukannya untuk 15 tahun lagi.
Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Bera itu, ramai dalam kalangan rakyat yang didakwa hampir muflis dan terdesak untuk meneruskan kehidupan termasuk mangsa banjir.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana berikan tambahan caruman RM500 kepada pencarum B40. Tetapi duit itu dimasukkan sebagai caruman untuk dikeluarkan sebelum bersara.
"Kalau penyimpan umur 40 tahun, 15 tahun akan datang baru boleh keluarkan RM500. Baguslah... murnilah apa yang kerajaan nak buat itu.
"Tetapi rakyat nak adalah sekarang, bukan 15 tahun akan datang. Yang mereka hadapi kesukaran adalah sekarang.
"Rumah nak dilelong adalah sekarang, anak nak masuk universiti adalah sekarang, dan mereka nak diisytiharkan muflis sekarang.
"Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong dah (dan mereka) muflis dah," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Membahaskan lanjut, Ismail Sabri berkata ramai yang faham bahawa KWSP adalah untuk tujuan hari tua, tetapi kerajaan wajar mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar dan bersyarat.
"Yang penting jangan tutup pintu terus, buka dan bincang lagi.
"Saya harap berilah ruang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan mereka. Kalau tidak, ramai yang terjejas.
"Ini di Johor sedang mengalami banjir besar dan akan menyebabkan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak.
"Dulu lepas COVID19, keadaan mendesak, kita bagi (pengeluaran KWSP)," ujarnya.
Justeru, Ismail Sabri berharap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan berita baik pada penggulungan Belanjawan 2023.
#Anwar Ibrahim #pengeluaran KWSP #banjir johor #ismail sabri yaakob
;