Pengeluaran KWSP bersasar dijawab di Dewan Negara Isnin ini - Ahmad Maslan
Astro Awani
April 7, 2023 18:35 MYT
April 7, 2023 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Usul pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dijadual dibahaskan di Dewan Negara pada Isnin ini.
Memetik laporan The Star, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul berkenaan sudah diluluskan untuk dibahaskan dalam kalangan senator selama sejam, sebelum beliau menjawab pada sesi penggulungan.
"Kami akan membincangkan perkara ini pada Isnin kira-kira pukul 4 petang. Senator akan diberi masa sejam untuk memberi pandangan mereka mengenai perkara itu. Tunggu Isnin.
"Perkara pertama adalah mengenai kumpulan pengeluaran bersasar, dan kedua penggunaan simpanan KWSP sebagai cagaran untuk pinjaman bank," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai lawatan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), pada Jumaat.
Minggu lalu, blok pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan penolakan usul bagi membahaskan pengeluaran KWSP.
Kerajaan sebelum ini berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP kerana caruman ahli untuk bekalan hari tua adalah terlalu sedikit.