Pengeluaran Khas KWSP: 'Tidak salah guna untuk raya, namun perlu berpada-pada'

Rahimah Abdullah
April 21, 2022 08:00 MYT
Irwan Shah berpendapat tidak salah jika perbelanjaan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 digunakan untuk perayaan, namun pencarum perlu bijak melakukan perancangan agar wang berkenaan tidak habis begitu sahaja. -Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melakukan pengeluaran khas perlu ada sistem pengesanan wang bagi merancang perbelanjaan peribadi mereka dengan lebih baik.
Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, sistem itu akan memastikan pencarum dapat mengklasifikasikan antara perbelanjaan keperluan dan kehendak.
"Jadi walaupun ia bukan serius, walau ramai pencarum guna perbelanjaan untuk perayaan, namun berpada-padalah sebab kalau kita ada sistem pengesanan itu, kita boleh mengklasifikasikan perbelanjaan kita itu.
"Perbelanjaan mana penting, tidak berapa penting dan tidak perlu, jadi kalau perbelanjaan tidak perlu rasanya tidak perlu kita nak berbelanja.
"Melalui sistem pengesanan itu, kita boleh mengklasifikasikan apakah keperluan dan kehendak," katanya semasa program Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam masa sama, Irwan Shah berpendapat, tidak salah jika perbelanjaan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 digunakan untuk perayaan, namun, pencarum perlu bijak melakukan perancangan agar wang berkenaan tidak habis begitu sahaja.
"Dalam konteks perayaan ini agak berbeza. Jadi perlu ada kebijaksanaan untuk memastikan bahawa RM10,000 itu dapat dikawal dan mungkin boleh digunakan untuk perniagaan yang kita mungkin sudah biasa agar duit itu tidak habis begitu sahaja," katanya lagi.
Dalam pada itu, pencarum dinasihatkan agar memastikan mereka memahami selok-belok pelaburan dan perniagaan jika mahu menggunakan wang pengeluaran KWSP untuk dua tujuan berkenaan.
Ia berikutan jelasnya, mereka mungkin berisiko kehilangan wang atau berdepan sindiket penipuan jika tidak biasa dengan pelaburan mahupun perniagaan yang baharu.
"Jadi kalau mencuba-cuba, risikonya agak tinggi, dan menyebabkan kita kehilangan duit untuk melakukan objektif sebenar.
"Kalau pelaburan pula, jika tidak biasa, baik tak payah. Malah sekarang ada sindiket penipuan dan pencarum perlu berhati hati," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat ia menjadi satu masalah jika pencarum berhasrat untuk menggunakan wang pengeluaran untuk menambah baik perniagaan sedia ada atau perniagaan yang sudah mereka biasa lakukan.
"Kalau perniagaan itu kita sudah biasa, jadi untuk menambah perbelanjaan di situ tiada masalah. Bagi saya ia berbalik kepada selera risiko yang macam mana.
"Kalau kita mempunyai selera risiko terhadap pelaburan itu boleh dipertimbangkan," tambahnya.
#pengeluaran khas #KWSP #Dr Irwan Shah Zainal Abidin #UUM
;