Pengeluaran khas KWSP: Mohon hari ini, dapat 20 April 2022
Astro Awani
Mac 31, 2022 07:50 MYT
Mac 31, 2022 07:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula membuka permohonan pengeluaran khas hari ini sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Permohonan pengeluaran khas dibuka hingga 30 April ini.
Ahli di bawah umur 55 tahun yang membuat permohonan akan menerima bayaran secara one-off bermula 20 April.
Pembayaran akan dikredit ke dalam akaun bank simpanan atau semasa dengan ahli perlu memastikan akaun bank mereka masih aktif dan di bawah nama sendiri.
Semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.
Menurut Perdana Menteri semasa mengumumkan perkara itu pada 13 Mac lalu, pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik bagi memenuhi keperluan mendesak ketika ini.
KWSP sendiri mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu.