Pengeluaran air terawat bertambah, tetapi catuan tetap diteruskan, kata Syabas

Bernama
April 5, 2014 00:22 MYT
Pengeluaran air terawat dari Sungai Selangor berjaya ditingkatkan ekoran hujan sejak dua hari lepas, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred berkata walaupun pengeluaran air terawat bertambah, catuan tetap diteruskan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sebahagian kawasan-kawasan terlibat.
"Penyaluran bekalan air itu merupakan langkah sementara dan boleh dihentikan bila-bila masa jika aliran air di sungai kembali berkurangan. Oleh yang demikian, para pengguna di kawasan yang terlibat diminta untuk terus berjimat cermat dalam menggunakan air," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata pelan catuan air yang dilaksanakan oleh Syabas kini membabitkan hampir 7.03 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pelan catuan peringkat keempat bermula pada Jumaat.
"Catuan Peringkat Keempat menyaksikan tambahan 633 kawasan kepada catuan Peringkat Ketiga di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dengan sejumlah 626,233 pintu rumah terjejas," katanya.
Selain itu, beliau catuan Peringkat Pertama yang bermula pada 27 Feb juga masih aktif walaupun Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi telah mula beroperasi sejak 30 Mac lepas.
Catuan masih diaktifkan kerana sumber air mentah dari Sungai Langat masih terdedah kepada risiko pencemaran ammonia ekoran ketiadaan penurunan hujan di sekitar kawasan sungai, katanya.
Alfred berkata pihaknya telah membuat perancangan rapi untuk melaksanakan pelan itu dengan menambahbaik pelaksanaan catuan dari masa ke semasa mengikut pengalaman dan keadaan sebenar selepas setiap pusingan pelan catuan.
Katanya, untuk memastikan kelancaran pelan tersebut, SYABAS menggunakan 649 tenaga kerja bagi mengoperasikan 850 injap pelbagai saiz yang perlu ditutup dan dibuka pada waktu tertentu.
#air #catuan #priscilla alfred #SYABAS