Pengeluar tempatan perlu bersama-sama martabatkan produk tempatan
Nursyazwani Saiful Sham
September 4, 2019 20:53 MYT
September 4, 2019 20:53 MYT
Rata-rata berpendapat tindakan segelintir pihak menggesa rakyat negara ini memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera tidak memberi kesan sama ada pada harga mahupun kepada ekonomi negara.
Sebaliknya, pengeluar tempatan perlu bekerjsama dan saling membantu demi memastikan pengeluaran tempatan tetap mendapat tempat dalam hati rakyat.
Itu yang dapat dirumuskan berdasarkan tinjauan yang dilakukan Astro AWANI pada Rabu.
Bagi Mohd Rostum yang merupakan seorang peniaga berpendapat rakyat Malaysia perlu berkerjasama bagi memastikan ekonomi negara bertambah maju.
“Kita memang perlu bersama-sama jika mahu maju, jadi boikot seperti ini perlu dihentikan untuk masa depan anak bangsa kita,” katanya.
Bagi Thulashni Paliah yang merupakan jurutera lif pula berpendapat, kempen boikot barangan bumiputera ini tidak akan berjaya.
“Boikot ini tidak akan berjaya. Ekonomi negara hanya akan maju jika kita rakyat Malaysia bersama. Kita perlu saling menyokong antara satu sama lain dan tidak boikot barangan tempatan,” jelasnya.
Menurut seorang kakitangan awam, Noraini Mohd Noor, rakyat Malaysia ada pilihan untuk memilih barangan yang hendak dibeli.
“Pada saya kita ada pendirian kita sendiri. Kita tahu memilih dan kita ada hak untuk memilih.
“Bagi saya, kita sendiri perlu fikir langkah mana yang lebih baik. Sampai bila kita mahu ikut langkah yang diambil oleh orang lain?” ujarnya.
Mereka mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam, di samping menggesa masyarakat Melayu Islam untuk memboikot barang buatan bukan Islam.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata tindakan memboikot terbabit tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan memberi kesan sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan.