Pengeluar gula perlu hantar laporan harian kepada KPDN - Salahuddin

Hilmi Malik
Jun 22, 2023 15:03 MYT
SALAHUDDIN: Pelaksanaan itu bagi memastikan bekalan gula di negara ini sentiasa dalam keadaan terjamin serta kawalan di pasaran. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengarahkan dua syarikat pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), untuk mengemukakan laporan harian pengeluaran gula di kilang mereka.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu bagi memastikan faktor bekalan gula di negara ini berada dalam keadaan terjamin selain memastikan situasi di pasaran tidak terjejas.
"Kedua-dua syarikat ini telah memberi jaminan bahawa bekalan gula mencukupi dan kita telah mengarahkan mereka menghantar laporan setiap hari sejak Mei lalu," katanya menerusi sidang akhbar pelancaran Pakej Rahmah Insurans dan Takaful di KPDN, di sini, pada Khamis.
Menurut Salahuddin, kementeriannya juga akan melaksanakan pemantauan ketat khususnya menjelang musim perayaan Aidiladha di sempadan negara bagi mengelakkan berlakunya isu ketirisan subsidi.
"Kita akan memantau serius perkara ini khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.
"Minggu lepas kami turun padang mendapati ada beberapa tempat masih lagi mengalami kekurangan bekalan dan ia diatasi dalam tempoh sehari dua kemudian.
"Dua tiga hari ini kita sudah tidak menerima aduan mengenai gula," katanya lagi.
Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan bekalan gula di negara ini kembali stabil selepas Ops Manis dilancarkan pada Mei lalu termasuk pemeriksaan yang dilakukan secara berkala di peringkat pemborong dan peruncit.
Sementara itu, pihaknya turut mengharapkan agar individu yang terlibat dalam ekonomi gig dapat memanfaatkan Pakej Rahmah Insurans dan Takaful.
Jelasnya, inisiatif itu dilihat mampu memberi perlindungan yang sewajarnya selain kos yang ditawarkan jauh lebih murah.
Salahuddin menambah, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi inisiatif perbankan Rahmah.
#kpdn #Salahuddin Ayub #musim perayaan #bekalan gula
;