Pengecualian visa: Pergerakan penumpang di lapangan terbang Malaysia catat pertumbuhan
Bernama
Februari 24, 2024 18:00 MYT
Februari 24, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang di lapangan terbang di seluruh negara mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh dua bulan ini, selepas kerajaan memperkenalkan pengecualian visa selama 30 hari untuk pelawat dari China dan India mulai 1 Dis tahun lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam hantaran melalui Facebook hari ini berkata perkara itu merupakan perkembangan yang baik untuk memacu sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi, selain membantu mengukuhkan nilai mata wang negara.
"Kalau sektor pelancongan kita dapat dipertingkatkan, ia juga merupakan satu daripada usaha untuk memperkukuh nilai ringgit sebab bila pelancong ramai datang, permintaan terhadap ringgit akan bertambah.
"Jadi, kita akan terus menyokong usaha untuk menjayakan industri pelancongan, termasuk bekerjasama dengan semua pihak terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya dalam video yang dimuat naik menerusi laman media sosial itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pengecualian berkenaan merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pengecualian visa itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.
Menurut Loke pada tahun lepas, jumlah pergerakan penumpang yang dicatatkan di lapangan terbang seluruh negara adalah sebanyak 81. 9 juta orang, tertinggi sejak pandemik COVID-19.
"Berbanding 121 destinasi pada 2022, Malaysia mempunyai 147 laluan penerbangan yang berhubung dengan seluruh dunia, dengan peningkatan sebanyak 25 peratus. Kita mengharapkan bahawa sektor penerbangan ini terus maju ke hadapan," katanya.
-- BERNAMA