Pengecualian visa pelancong dari China, India rancakkan TMM 2024
Shuhada Abdul Kadir
November 27, 2023 11:57 MYT
November 27, 2023 11:57 MYT
AYER KEROH: Keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember ini dilihat bakal merancakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.
Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia sekali gus memberi laluan mudah kepada strategi pemasaran pelancongan negeri memandangkan kemasukan pelancong dari China adalah tinggi.
“Saya yakin kerajaan Persekutuan akan cari kaedah terbaik (dalam) permudahkan pelancong-pelancong dari negara China ini dan dalam masa sama kita akan buat jemputan kepada mereka (pelancong China) dalam masa terdekat.
“(Jadi) kita sudah tidak perlu risau lagi dan ini satu hadiah sempena hubungan lebih 50 tahun antara Malaysia dan China yang mana (keputusan) pengecualian visa ini adalah had kerajaan Persekutuan dan saya yakin mereka akan cari kaedah lebih baik lagi,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kerajaan negeri juga akan membuat jemputan khas kepada pelancong-pelancong China sempena TMM2024.
“Insya-Allah dalam masa sama kita akan buat jemputan kepada pelancong-pelancong China ini dan kita telah aturkan untuk ke sana dalam membuat promosi.
“Rancangan ini akan diketuai oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memandangkan pelancong China ini antara pelancong teramai ke Malaysia dan Melaka khususnya,” tambahnya.
Dalam pada itu Abdul Razak berkata, Mac dan April tahun depan bakal menjadi bulan pelancongan Islam di Negeri Melaka.
Jelasnya, pemilihan tema Islamik sebagai pelancongan kebudayaan Islam itu adalah memandangkan waktu itu jatuh pada bulan Ramadan.
Antara program yang sudah dirangka sepanjang bulan berkenaan termasuk majlis berbuka puasa beramai-ramai, Qiamullail Perdana dan beberapa majlis ilmu.