'Pengecualian visa pelancong China dilanjut hingga Disember 2017' - Nazri
Wan Syamsul Amly
November 3, 2016 14:03 MYT
November 3, 2016 14:03 MYT
Pengecualian visa pelancong China ke negara ini dilanjutkan sehingga akhir tahun depan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia disebabkan peningkatan bilangan pelancong negara itu yang positif tahun ini.
"Pada tahun 2016, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menetapkan sasaran seramai 2,026,000 ketibaan pelancong dari negara China setelah kemudahan pengecualian visa diberi kepada pelancong China.
"Berdasarkan peningkatan bilangan pelancong yang positif ini, maka Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa kepada pelancong China kepada 31 Disember 2017," katanya.
Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seremban (DAP), Loke Siew Fook yang meminta kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyatakan kesan-kesan positif daripada dasar pengecualian visa kepada pelancong negara China dan adakah Kerajaan bersedia untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa tersebut.
Dalam pada itu jelas Nazri, pelancong dari negara China merupakan sumber ketibaan pelancong asing yang ketiga terbesar kepada Malaysia.
"Menurut statistik ketibaan pelancong China pada Januari hingga Ogos 2016, Malaysia telah menerima seramai 1,406,417 orang pelancong China, iaitu peningkatan sebanyak 26.3% berbanding dengan 1,113,508 orang pelancong China pada Januari hingga Ogos 2015," ujarnya.