Pengecualian tol tujuh hari di pintu masuk Malaysia-Singapura - PM
Astro Awani
Mac 30, 2022 14:51 MYT
Mac 30, 2022 14:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju memberi pengecualian bayaran tol di plaza-plaza tol di pintu masuk Malaysia-Singapura selama tujuh hari bermula 1 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata pengecualian bayaran tol tersebut melibatkan semua jenis kenderaan yang melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua).
"Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’.
"Pemberian pengecualian bayaran tol ini melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza tol yang terlibat sepanjang tempoh tersebut.
"Keputusan ini turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol tersebut dengan pembukaan sempadan laluan darat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengecualian itu adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.
Jelasnya, PLUS turut menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari di mana pelepasan tol tersebut akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan.
"Oleh itu, pihak PLUS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor serta kementerian dan agensi yang berkaitan juga sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan yang lancar di lebuh raya bersempena dengan pembukaan semula ini.
"Ia juga termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan-kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS," katanya.
Justeru katanya, kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara.