Pengecualian, potongan bil elektrik beri manfaat lebih meluas - Cuepacs
Bernama
Jun 20, 2020 17:11 MYT
Jun 20, 2020 17:11 MYT
Langkah kerajaan memberikan pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan memberi manfaat yang lebih meluas kepada rakyat, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya, Adnan Mat berpandangan pemberian diskaun mengikut blok penggunaan elektrik seperti sebelum ini tidak begitu menyeluruh berbanding langkah pengecualian dan potongan bayaran bil berkenaan.
"Cuepacs bagi pihak penjawat awam dan rakyat keseluruhannya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan yang membantu meringankan beban dihadapi rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini mengumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta, menjadikan jumlah keseluruhan diskaun diberikan kepada pengguna bagi tempoh 1 April hingga 30 Sept sebanyak RM2.2 bilion.
Seramai empat juta pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma, sementara pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj bakal menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231, iaitu RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun.
Cuepacs turut menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sanggup dan terbuka untuk memberikan insentif lebih baik kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.
"Tanggungjawab tersebut membuktikan TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu di saat semua pihak menghadapi kesukaran. Walaupun menerima kritikan akibat kekeliruan maklumat, TNB sentiasa profesional dalam membantu rakyat memberi penjelasan," katanya.
Pada masa yang sama, Ceupacs berharap pihak yang menghadapi masalah kekeliruan bil elektrik supaya tampil bertemu atau bersemuka dengan pihak TNB di mana-mana cawangannya dan tidak menggunakan medium sosial media untuk melontarkan pandangan yang tidak berasas hingga mencetuskan kegusaran kepada rakyat.
-- BERNAMA
#Bantuan Prihatin Elektrik
#bil elektrik
#COVID-19
#cuepacs
#Menteri Tenaga dan Sumber Asli
#rakyat Malaysia
#Shamsul Anuar Nasarah
#Tenaga Nasional Berhad
#TNB