Pengecualian FCLB, diskaun kompaun sempena Jubli Emas - Perkeso

Ehsan A Marisah
Mac 1, 2021 21:02 MYT
Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed ketika Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas Perkeso secara maya pada Isnin. - Gambar Perkeso.
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan jubli emas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan pengecualian Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) serta diskaun kompaun kepada majikan yang lewat mendaftar dan mencarum di bawah pertubuhan itu bermula hari ini sehingga 30 Jun 2021.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, insentif itu merupakan tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan para majikan di seluruh negara.
“Pengecualian ini akan terpakai kepada pendaftaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800). Bagi majikan yang telah melewati tempoh tersebut, diskaun akan diberikan kepada kompaun yang dikenakan.
“Berdasarkan pengalaman 10 tahun lalu melalui Op Kesan dan Op Pemutihan, julat kompaun sekitar kosong peratus sehingga 80 peratus dikenakan, tetapi kali ini kami akan mempertimbangkan untuk 100 peratus diskaun,” katanya dalam sidang media Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas Perkeso secara maya pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohammed Azman menambah, kegagalan majikan berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan merupakan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan perkompaunan dan dua pendakwaan.
“Sekiranya didakwa di mahkamah dan sabit kesalahan, majikan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Majikan juga akan dikenakan faedah pada kadar enam peratus setahun di atas caruman yang lewat dibayar jika lewat mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan,” jelasnya.
Untuk rekod, sebanyak 17,471 kes telah diterima untuk didakwa di bawah Akta 4 atas pelbagai kesalahan sejak tahun 2010 sehingga 31 Disember 2020.
Walau bagaimanapun, sejumlah 487,706 majikan aktif berdaftar di bawah Akta 4 dengan 8.57 juta pekerja kini sudah mendapat perlindungan Perkeso.
Bagi majikan yang layak dan belum mendaftar, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal ASSIST dengan melayari www.perkeso.gov.my.
Sementara itu, turut dilancarkan juga logo 50 tahun hasil kreativiti anggota Perkeso dan penganjuran pelbagai aktiviti menarik.
“Orang ramai juga boleh mengikuti rapat segala maklumat berhubung aktiviti-aktiviti yang diadakan di laman sesawang serta media sosial rasmi Perkeso dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
*Kandungan dalam artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Perkeso.
#perkeso #SOCSO #aedah Caruman Lewat Bayar #FCLB #kompaun #diskaun #majikan #Jubli Emas #ulang tahun
;