Pengecualian cukai jualan kenderaan tidak dilanjutkan, daftar sebelum 31 Mac 2023
Harits Asyraf Hasnan
Jun 20, 2022 14:14 MYT
Jun 20, 2022 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan tiada pelanjutan bagi pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang yang dijadual berakhir pada 30 Jun ini.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun ini masih layak menikmati insentif tersebut.
Dalam masa sama, pembeli, kata beliau, perlu membuat pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac tahun depan.
“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah (midpoint solution) bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.
Menurutnya, menerusi inisiatif yang bermula sejak 15 Jun 2020 itu, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan pembeli telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.
Namun, jelas Tengku Zafrul, dengan pembukaan sektor ekonomi termasuk sektor automotif yang telah kembali beroperasi seperti sedia kala, masih terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.
“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif.
“Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli,” katanya.
Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan tiga kali pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU).
#Pengecualian cukai jualan
#kenderaan penumpang
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Jabatan Pengangkutan Jalan