Pengecualian bersama visa Malaysia-China beri impak positif
Bernama
November 29, 2023 06:00 MYT
November 29, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengecualian bersama keperluan visa antara Malaysia dan China bakal memberikan banyak kesan positif terhadap hubungan dua hala kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.
Presiden Centre for New Inclusive Asia (CNIA) Koh King Kee berkata bukan sahaja kerjasama ekonomi dan perniagaan akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif itu, tetapi ia juga akan menyumbang ke arah membina kepercayaan politik yang lebih kukuh antara kedua-dua negara dan untuk rakyat mereka saling mengenali dengan lebih baik.
"Pengecualian bersama keperluan visa untuk lawatan oleh rakyat Malaysia dan China menjelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak syak lagi merupakan peristiwa penting baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"Ia pasti akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada industri pelancongan Malaysia, memudahkan perdagangan dan pelaburan, menggalakkan pendidikan dan pertukaran akademik sekali gus meningkatkan ikatan antara rakyat - asas hubungan dua hala yang kukuh dan rapat," katanya kepada Bernama.
China pada 24 Nov mengumumkan pengecualian visa selama 15 hari untuk rakyat Malaysia memasuki negara itu untuk tujuan perniagaan, pelancongan, melawat saudara mara dan rakan serta transit, bermula 1 Dis 2023 hingga 30 Nov, 2024.
Langkah itu bagi membantu mempromosikan pertukaran rakyat dan menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi.
Bagaimanapun, mereka yang tidak memenuhi syarat pengecualian visa masih perlu mendapatkan visa sebelum memasuki China.
Dalam langkah timbal balik, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Nov mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat 'strategic partnership' hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun, tahun depan.
Beliau berkata pengecualian visa itu tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan.
Selama lebih sedekad, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia. Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan China mencecah RM487.13 bilion (US$110.62 bilion) menunjukkan peningkatan 15.6 peratus daripada 2021.
China juga muncul sebagai pelabur langsung asing terbesar di Malaysia untuk tahun 2022 dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion (US$12.5 bilion).
-- BERNAMA