Pengecilan lorong lebuh raya tidak libatkan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri 2025
Bernama
November 22, 2024 18:52 MYT
November 22, 2024 18:52 MYT
KULAI: Pengecilan lorong di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sedenak ke Kulai bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lorong tambahan di lebuh raya itu, dijangka tidak dilakukan semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pada 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerja-kerja Fasa 1-Pakej A bagi laluan Sedenak-Kulai dijangka menyaksikan pengecilan lorong sedia ada kepada 3.5 meter berbanding 3.65 meter ketika ini.
Beliau berkata pengecilan lorong berkenaan dijangka menyebabkan kesesakan sepanjang projek berikutan had laju di kawasan itu diturunkan kepada 90 kilometer sejam daripada 110 kilometer sejam pada masa ini.
"Untuk raya (Aidilfitri dan Tahun Baru Cina) tahun depan, tidak akan ada yang terlibat (pengecilan lorong) ... kemudian untuk raya satu lagi (2026), perkara itu sudah siap untuk arah selatan, jadi (kelebaran) 3.65 meter itu akan dikembalikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke projek berkenaan di Plaza Tol Sedenak, dekat sini hari ini.
Ahmad berkata Fasa 1 yang merangkumi jarak 22 kilometer dari Senai Utara ke Sedenak dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.
Beliau berkata Fasa 2 yang bermula dari Sedenak hingga Simpang Renggam melibatkan jarak 17 kilometer dengan peruntukan RM506 juta pula dijadualkan bermula pada suku kedua tahun hadapan.
"Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap akan melalui proses kajian nilai pada Februari 2025," katanya.
Projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara merupakan inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS Wilayah Selatan yang sering berlaku pada waktu puncak terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.
-- BERNAMA