Pengecilan habitat antara cabaran konservasi hidupan liar - Perhilitan

Bernama
Mac 3, 2022 14:38 MYT
Antara cabaran lain dihadapi Perhilitan adalah kes hidupan liar yang terbunuh di atas jalan raya, serta kes penyeludupan hidupan liar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peningkatan gangguan dan pengecilan habitat adalah antara cabaran dihadapi Jabatan Perhilitan dalam usaha konservasi hidupan liar di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, cabaran lain termasuk peningkatan penggunaan jerat oleh pemburu haram serta kewujudan perdagangan haram hidupan liar secara maya melibatkan ramai lingkungan belasan tahun.
"(Penjenayah hidupan liar) hanya perlu ke YouTube untuk mengetahui cara-cara membuat jerat manakala (penjenayah) yang berusia sudah tiada yang memperdagangkan hidupan liar," katanya dalam Webinar Hari Hidupan Liar Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, cabaran lain dihadapi jabatan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) itu adalah kes hidupan liar terbunuh di atas jalan raya, kes penyeludupan hidupan liar yang mendatangkan keuntungan besar dan keadaan semasa spesies Harimau Malaya yang kian terancam.
"Dahulu spesies Harimau Malaya ada lebih 3,000 ekor namun sekarang ini kurang daripada 160 ekor," katanya.
Mengenai polisi dan langkah-langkah perundangan yang diguna pakai untuk memelihara hidupan liar, beliau berkata, ia terdiri daripada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716); dan Akta Pemerdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
Selain itu Enakmen Taman Negara Pahang 1939, No.2; Enakmen Taman Negara Pahang (Pindaan) 1990, No.6; Enakmen Taman Negara Terengganu 1939, No.6; Enakmen Taman Negara Kelantan 1938, No. 14 turut dikuatkuasakan bagi tujuan pemeliharaan hidupan liar.
Selain Harimau Malaya, Abdul Kadir berkata, spesies haiwan terancam di negara ini ialah gajah, harimau belang, badak Sumatera, tapir dan Seladang.
Menurut Abdul Kadir, meskipun terdapat banyak cabaran dihadapi namun ia tidak mematahkan semangat anggota Jabatan Perhilitan dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di negara ini.
-- BERNAMA
#haiwan liar #Perhilitan #habitat #konservasi
;