Pengayuh basikal warga emas berjaya cipta rekod kelima MBOR
Bernama
Julai 5, 2019 07:00 MYT
Julai 5, 2019 07:00 MYT
Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 73, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan misi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali kelima pada Jumaat.
Lebih membanggakan figura yang lebih mesra dipanggil Pak Wan itu, berjaya menamatkan kayuhan sejauh 2,200 kilometer (km) lebih awal iaitu dalam tempoh 14 hari, berbanding 15 hari yang ditetapkan sebelum ini dan mencatatkan rekod kelimanya dalam Malaysia Books Of Record (MBOR) kelimanya
"Hanya satu perkataan yang mampu Pak Wan luahkan ketika ini ialah syukur dan lega, kerana berjaya mengharungi semua cabaran sepanjang kayuhan," katanya dalam nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telipot di sini, pada Jumaat.
Ketibaan beliau kira-kira pukul lima petang selepas menamatkan kayuhan terakhir dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dengan jarak 160 km itu disambut oleh isteri, ahli keluarga serta Kelab Media Kelantan Datul Naim (Kemudi).
Menceritakan pengalaman sepanjang kayuhan kelimanya, Pak Wan berkata misinya kali ini paling mencabar keupayaannya, kerana perlu membuat kayuhan sehingga ke tengah malam dan awal pagi, malah ada kayuhannya sehingga pukul 3 pagi, bagi menamatkan misinya itu dalam tempoh dua minggu.
"Paling saya ingat ketika kayuhan dari Kota Tinggi ke Endau, Rompin, kerana kawasan kelapa sawit tersebut agak gelap dan tidak ramai orang. Memang ada rasa takut dan lapar, tapi saya buang ketepi semua perasaan itu dan fokus untuk sampai ke destinasi seperti yang dirancang," katanya.
Datuk kepada 23 cucu dan seorang cicit itu berkata beliau juga terpaksa berhati-hati dengan lori yang melalui jalan tersebut yang kebanyakannya dipandu secara laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.
Pak Wan juga memilih untuk tidur di tepi jalan di atas kepingan kotak terbuang, ketika tiba di Pantai Batu Buruk 11 malam semalam, berbanding menginap di hotel bagi memastikan beliau bangun lebih awal untuk meneruskan kayuhan terakhir pada Jumaat.
"Pak Wan juga suka mencabar kemampuan diri untuk melakukan apa yang difikirkan mustahil oleh orang lain. Hari ini Pak Wan berjaya buktikan, setakat ini Pak Wan lah satu-satunya warga emas yang berjaya mengeliligi negara dalam tempoh tidak sampai 15 hari," katanya dengan nada puas.
Ketika ditanya tentang rancangan kayuhan seterusnya Pak Wan dalam nada berseloroh berkata semua itu memang telah ada dalam fikirannya.
Pak Wan memulakan kayuhan solo kelimanya pada 22 Jun lepas, dan dijadualkan disempurnakan dalam tempoh 15 hari, bagi mencipta Malaysia Books Of Record (MBOR) kelimanya.
Beliau sebelum ini telah mencipta empat MBOR bermula kayuhan berbasikal secara solo pertamanya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200km pada 28 Feb 2014.
Rekod MBOR keduanya diperolehi pada Januari 2015, apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia sejauh 5,319 km.
Sementara itu, dalam misi kayuhan kali ketiganya, Pak Wan disertai jurugambar sambilan Bernama Kelantan, Shahuri Awang, 33, sejauh 3,000km mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand selama 43 hari, sebelum meraih MBOR kali keempat pada tahun lepas dengan mengelilingi negara ini secara solo.
Kayuhan kali ini juga Pak Wan membawa mesej daripada Kemudi iaitu 'Percaya Berita Benar', bagi mengelak rakyat membaca berita yang tidak sahih dan fitnah.
-- BERNAMA
#basikal
#Kampung Telipot
#kayuhan solo
#mbor
#tidur di tepi jalan
#wan hashim wan mahmood
#warga emas