Pengawal tiada di pondok punca kemalangan kereta api berlaku
Sinar Harian
Ogos 18, 2022 04:20 MYT
Ogos 18, 2022 04:20 MYT
KOTA KINABALU: Pengawal menjaga lintasan rata tiada di pondok punca berlakunya kemalangan kereta api dengan dua kenderaan lain di Jalan Lintas, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pada petang Khamis.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hasil siasatan mendapati kereta api yang membawa kira-kira 70 penumpang itu dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Kota Kinabalu manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat bergerak dari Jalan Lintas menuju ke KKIA.
Katanya, perkhidmatan kereta api itu terlewat dari jadual asal iaitu sepatutnya berlepas dari Beaufort pada jam 11 pagi namun hanya dapat bertolak pada jam 12 tengah hari.
"Kereta api dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu selepas tiba di Stesen Kinarut dan kebenaran juga diberikan selepas mendapat kepastian bahawa semua penjaga lintasan berada di pondok masing-masing.
"Bagaimanapun, apabila kereta api tiba di lintasan rata Lintas Kepayan (jejantas KKIA), penjaga lintasan raya tidak berada di pondok menyebabkan semua palang keselamatan serta siren gagal diaktifkan serta mengakibatkan ia bertembung dengan sebuah lori serta pacuan empat roda.
"Siasatan awal mendapati kemalangan disebabkan kecuaian manusia di pihak pengawal lintas rata namun siasatan rapi bagi memastikan punca kecuaian akan diadakan dengan segera," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan manakala keretapi hanya rosak sedikit di bahagian penutup enjin.
"Tiada laporan kecederaan diterima.
"Pemandu lori dan pacuan empat roda juga tidak melaporkan kecederaan bagaimanapun insiden telah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya lagi, tindakan seterusnya akan dibuat oleh pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) bagi memastikan maklumat kebenaran untuk berlepas disampaikan dengan tepat dan jelas kepada penjaga lintasan rata selain memastikan mereka berada di pondok masing-masing ketika menjalankan tugas.
"Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian hadapan kepala kereta api juga akan dilakukan serta merta untuk memastikan rakaman kemalangan dapat diambil serta dapat merakam kehadiran setiap kakitangan yang bertugas semasa operasi perkhidmatan.
"Proses penubuhan Bahagian Pemantauan dan Koordinasi JKNS akan dipercepatkan untuk memastikan setiap operasi standard (SOP) operasi dapat dikawal selia dengan lebih baik pada masa akan datang," jelasnya.
Pada Khamis, puluhan penumpang dilaporkan berhadapan detik cemas selepas kereta api yang dinaiki terbabit dalam kemalangan melibatkan lori dan sebuah pacuan empat roda di Jalan Lintas, berhampiran KKIA, di sini. - Sinar Harian