Pengawal peribadi keluarga Zahid Hamidi maut kemalangan

Bernama
Januari 20, 2019 19:28 MYT
Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Jazz yang dipandu Muhammad Aidil terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing bukit. -Gambar hiasan
Pemandu dan pengawal peribadi keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Muhammad Aidil Suhaidi, antara dua yang maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan di kilometer 165.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, selain Muhammad Aidil, seorang lagi yang meninggal dunia ialah datuknya, Saad Salleh, 72, yang duduk di belakang pemandu.
Katanya kemalangan itu juga menyebabkan adik Muhammad Aidil, Muhammad Aliff, 23, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan lebam, manakala neneknya Siti Zaleha Abdullah, 57, mengalami luka kecil di muka serta belakang badan.
"Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Jazz yang dipandu Muhammad Aidil menuju ke arah timur terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing bukit dipercayai akibat dipandu laju.
"Impak kemalangan menyebabkan pemandu dan penumpang belakang pemandu tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Norzamri menambah mangsa sekeluarga dipercayai dalam perjalanan dari ibu negara untuk bercuti di Terengganu.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ahmad Zahid semalam turut memuat naik status berhubung kematian Muhammad Aidil di Twitter dan berkata mangsa juga merancang melangsungkan pertunangan di Kelantan.
BACA: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tun Dr Mahathir meninggal dunia
-- BERNAMA
#Hospital Jengka #kemalangan #Lebuhraya Pantai Timur #meninggal dunia #Muhammad Aidil Suhaidi #Muhammad Aliff #Norzamri Abd Rahman #Saad Salleh #Siti Zaleha Abdullah #Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;