Pengawal peribadi dihukum mati, bersalah bunuh majikan berpangkat Datuk
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 16, 2020 19:38 MYT
Disember 16, 2020 19:38 MYT
GEORGE TOWN: Seorang pengawal peribadi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi George Town selepas didapati bersalah membunuh majikannya dan dua lagi individu dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Ja'afar Halid, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Jaafar disabit membunuh majikannya, yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lain, Choi Hoi Ming, 32 dan Senthil Murugiah, 38, dengan menembak menggunakan sepucuk senjata api.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di susur masuk ke Jambatan di lebuh raya berkenaan antara jam 7.15 malam dan 7.30 malam 1 Disember 2016.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap lima pertuduhan (setiap pertuduhan 15 tahun penjara) atas cubaan membunuh dengan menembak lima individu lain.
Individu tersebut ialah Lee Hong Boon, 59, Nurul Huda Ab Aziz, 42, Puah Bee Joo, 36, K. Arivarni, 37, dan jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 32.
Hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 1 Disember 2016.
Dalam keputusannya, Abdul Wahab berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan perbuatan tertuduh ketika kejadian boleh dikategorikan sebagai kelakuan individu tidak waras atau tidak mempunyai akal sempurna.
Katanya, tertuduh juga menyedari kelakuan agresifnya ketika itu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan oleh polis termasuk tidak cuba melarikan diri dan tidak meletakkan senjata ketika diarahkan.
Malah, tambahnya, tembakan yang dilepaskan tertuduh juga terkena pada bahagian penting mangsa seperti kepala dan dada, bukannya dilepaskan secara rawak.
Ujar beliau, perbuatan itu bukan tindakan seseorang yang tidak waras sebaliknya jelas menunjukkan tertuduh mempunyai niat mencederakan mangsa.
Dalam pada itu, Jaafar turut berdepan atas lima tuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu lagi di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Seramai 37 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang prosiding kes itu berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan tertuduh diwakili peguam Y. Anbanathan.
#pengawal peribadi dihukum gantung
#Mahkamah Tinggi George Tow
#bunuh majikan
#Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu
#hukum gantung