Pengawal keselamatan wanita maut dirempuh lori sewaktu ke tempat kerja

Adie Sufian Zulkefli
Mei 8, 2022 13:06 MYT
Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di Pekan Bidong. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan wanita maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar sebuah lori di Kilometer 44 Jalan Alor Setar - Butterworth berhampiran Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian selepas kecederaan parah di kepala.
Katanya, mangsa Zaiton Ismail, 49, dari Taman Lembah Jerai, Gurun, dikatakan sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di Pekan Bidong.
“Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150R sedang bergerak dari arah Gurun ke Bedong.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pemandu lori cuba mengelak objek di hadapan sehingga memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy memaklumkan, akibat pelanggaran itu mangsa terpelanting ke bahu kiri jalan dan maut di tempat kejadian.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.
Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#kemalangan #pengawal keselamatan wanita maut #motosikal dilanggar lori #Sungai Petani
;