Pengawal keselamatan sementara tidak dibenarkan

Astro Awani
November 2, 2013 11:32 MYT
Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat keselamatan yang melantik pengawal keselamatan sementara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semua syarikat keselamatan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya pengawal yang dilantik wajib hadir kursus serta lulus tapisan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan sewenang-wenangnya mengambil pengawal keselamatan berdasarkan bilangan yang diperlukan pelanggan.
Isu pengawal keselamatan mula timbul apabila seorang pegawai bank maut ditembak pengawal keselamatan pada 23 Oktober lepas di Petaling Jaya, Selangor.
Pada Khamis sebuah kedai emas di Setapak, Kuala Lumpur dirompak pengawal keselamatan kedai itu sendiri.
Mengulas kejadian tersebut, Wan Junaidi berpendapat kejadian itu mungkin kerana suspek terdesak berikutan tindakan KDN memeriksa dengan teliti latar belakang lebih 26 ribu pengawal keselamatan di negara ini.
#Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pengawal keselamatan #Timbalan Menteri Dalam Negeri
;