KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap pegawai dan anggota polis pada November dan Disember tahun lepas.

Muhamad Hafidz Azrul Mat Nizan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, lelaki terbabit secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat mengancam kepada pegawai dan anggota polis dengan niat untuk mengugut menggunakan aplikasi WhatsApp pada 22 November, 3 Disember dan 24 Disember tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan, jika disabitkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din dan tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

-- BERNAMA