Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah aniaya anjing

Abd Hadi Che Awang
Ogos 18, 2020 11:41 MYT
Krishnamurty didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama. - Foto Astro AWANI
Seorang pengawal keselamatan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganiaya seekor anjing di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, pada Selasa.
Tertuduh Krishnamurty Kumarasamy, 60 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Precilia Hemamalini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara kejam atau secara munasabah melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing di Jalan Berangan, di sini, sekitar jam 11.05 malam, 10 Oktober tahun lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Hakim Precilia Hemamalini menetapkan 20 September depan bagi tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Kedah, Azizi Ngah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk S. Ganeson.
#aniaya #anjing #pengawal keselamatan
;