Pengawal keselamatan melecur dibaling molotov cocktail

Afiezy Azaman
Ogos 16, 2019 10:10 MYT
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal cedera selepas pondok pengawal tempatnya bertugas di sebuah kondominium di Danau Kota, ibu negara dibaling dengan molotov cocktail. - Foto PRDM
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal melecur di beberapa bahagian anggota badan selepas pondok pengawal tempatnya bertugas dibaling dengan satu botol berisi minyak dipercayai molotov cocktail.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur kejadian dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Taman Danau Kota, ibu negara awal pagi tadi.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.41 pagi, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, bomba mendapati sebuah pondok pengawal keselamatan terbakar dipercayai dari unsur khianat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menyatakan siasatan awal mendapati tindakan khianat itu dilakukan oleh suspek yang membaling sebuah botol berisi minyak (Molotov cocktail) ke arah pondok pengawal.
“Kejadian itu menyebabkan seorang mangsa lelaki warganegara Nepal yang sedang bertugas mengalami lecur sebanyak 10 peratus di bagaian tangan dan belakang badan.
“Mangsa telah diberikan rawatan oleh paramedik di lokasi kejadian dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
#JBPM #khianat #kondominium #melecur #minyak #molotov cocktail #Nepal #pengawal keselamatan #pondok pengawal #Taman Danau Kota
;