Pengawal keselamatan maut nahas tiga kenderaan
Sinar Harian
Mac 13, 2024 06:50 MYT
Mac 13, 2024 06:50 MYT
KOTA TINGGI: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 12.5 Jalan Mawai-Tanjung Sedeli dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda dengan kereta Proton Saga FL dan Narza Forte.
"Kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal tersebut yang berusia 38 tahun cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk siasatan.
"Pemandu Proton Saga FL iaitu wanita tempatan berusia 29 tahun dan pemandu Naza Forte iaitu lelaki tempatan berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 selain hilang lesen kelayakan memandu untuk lima tahun.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata, pihaknya sedang mencari seorang remaja wanita warga Myanmar yang dilaporkan hilang sejak Selasa.
Remaja tersebut, Satera Begum, 14, menetap di nombor 7 Jalan Bertam 3 Taman Aman di sini disyaki hilang jam 8.24 malam Selasa.
Kata Mohd Syamsuri, remaja itu mempunyai tinggi 150cm dan berat 50 kilogram dengan fizikalnya berambut hitam paras pinggang, coklat gelap dan mata hitam selain bibir dan bulu kening tebal.
"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lokasi individu tersebut boleh terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Benson Teoh Muh Shean menerusi talian 016-4142975, hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi (07-8837222), hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (07-2212999) atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Kerjasama masyarakat dalam membantu penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan," katanya dalam kenyataan berasingan. - Sinar Harian