Pengawal keselamatan maut diserang gajah, polis temui kesan diseret

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 27, 2020 17:01 MYT
Kereta mangsa yang remuk dipercayai dipijak gajah ditemui berhampiran mayatnya. -PDRM
Seorang pengawal keselamatan maut dipercayai diserang sekumpulan gajah liar di Simpang Perani, Jalan Mawai, Kota Tinggi, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, berdasarkan kesan di tempat kejadian, lelaki itu dipercayai diserang antara dua hingga tiga ekor gajah.
Katanya, mangsa yang berusia 56 tahun itu ditemui sudah meninggal dunia di kawasan berkenaan jam 10.30 pagi.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa yang berseluar hitam ditemui tidak berbaju. Terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan disyaki akibat diserang gajah.
"Polis juga menemui kesan tapak kaki gajah di lokasi kejadian selain kesan menandakan mangsa diseret gajah.
"Kereta mangsa juga didapati kemek pada bahagian bonet dan pintu", katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Isnin.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayatnya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
#gajah liar #Hospital #kereta #keselamatan #Kota Tinggi #lelaki #mangsa #mati #maut #Media #meninggal dunia #polis #serangan gajah #siasatan
;