Pengawal keselamatan maut digilis treler

Bernama
November 3, 2014 15:14 MYT
Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya parah selepas motosikal mereka terlanggar tebing konkrit longkang sebelum digilis treler.
Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlanggar tebing konkrit longkang sebelum digilis sebuah treler di Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di Simpang Tanjung Pasir dekat sini, hari ini.
Abdul Wali Arabi Abd Rahman, 29, dari Kampung Baru Ah Tong, yang membonceng motosikal itu mati di tempat kejadian, manakala penunggangnya, Mohd Hafizan Ismail, 21, dari Kampung Padang Jaya mengalami kecederaan parah.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali memberitahu Bernama dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Lembing hendak membelok ke simpang sebelah kiri jalan menghala ke Bukit Goh.
"Di tempat kejadian semasa sedang membelok, motosikal terbabit telah terlanggar tebing konkrit longkang yang berada di simpang kiri jalan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di bawah treler yang berada di hadapannya.
"Akibat daripada itu mangsa telah digilis oleh tayar belakang treler tanpa muatan," katanya.
Beliau berkata jenazah Abdul Wali dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, manakala Mohd Hafizan turut dirawat di hospital yang sama.
#Abdul Wali Arabi Abd Rahman #digilis treler #motosikal #pengawal keselamatan