Pengawal keselamatan kondominium mungkin sekongkol sindiket 'calling centre' - Polis

Bernama
Oktober 24, 2023 15:32 MYT
Allaudeen berkata 20 serbuan dibuat berkaitan aktiviti itu baru-baru ini dengan kebanyakannya berselindung di premis mewah berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pengawal keselamatan di kondominium mewah di sekitar ibu negara yang bersekongkol dengan sindiket 'calling centre' susulan peningkatan kegiatan berkenaan yang beroperasi di premis itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata 20 serbuan dibuat berkaitan aktiviti itu baru-baru ini dengan kebanyakannya berselindung di premis mewah berkenaan.
"Bagaimana sebuah kondominium mewah boleh membenarkan individu warga asing untuk bebas keluar masuk premis dengan mudah? Kita (orang tempatan) untuk masuk ke premis berkenaan pun sukar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Justeru, Allaudeen berkata polis akan melakukan pemeriksaan terhadap pengawal-pengawal keselamatan kondominium mewah bagi mengesan penglibatan mereka dalam sindiket terbabit.
Beliau turut menyarankan pihak pengurusan kondominium mewah di ibu negara seperti Badan Pengurusan Bersama serta Perbadanan Pengurusan premis untuk lebih mengambil berat berhubung modus operandi penipuan calling centre.
"Kami sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pengurusan kondominium dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah sudah digerakkan untuk membanteras sindiket ini habis-habisan," katanya.
Allaudeen berkata tindakan itu diambil bagi menjaga keharmonian serta memastikan Kuala Lumpur tidak dijadikan sebagai hab utama sindiket itu beroperasi.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur telah membuat 1,311 serbuan berkaitan jenayah dalam talian sejak Januari hingga September lepas.
Beliau berkata daripada serbuan itu, 71 kertas siasatan dibuka melibatkan penahanan 855 individu berhubung kes penipuan calling centre.
-- BERNAMA
#pengawal keselamatan #sindiket #calling centre #kondominium mewah #Polis Kuala Lumpur
;