Pengawal keselamatan dituduh sebabkan kematian bayi berusia setahun

Dewi Nur Harasha Alias
September 6, 2023 12:59 MYT
S Nagendran dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun, bulan lalu.
Tertuduh, S Nagendran, 34, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Farid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh antara 23 Ogos 2023 jam 6.25 petang hingga jam 4.50 petang 26 Ogos 2023 bertempat di Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth telah menyebabkan kematian ke atas Muhamad Hayder Mukhriz Abdul Fatah berusia setahun.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Asma Amira Shahidan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan 6 Mac 2024 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Sebelum ini, tertuduh pada 26 Ogos lalu telah menghantar mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan mendakwa mangsa pengsan serta memerlukan rawatan.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan disyaki didera.
Susulan itu, polis menahan suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau selain empat lelaki dan lima wanita lain berusia antara 16 dan 48 tahun untuk siasatan lanjut.
#bunuh bayi #pengawal keselamatan didakwa #Mahkamah Majistret Butterworth #bayi usia setahun
;