Pengawal keselamatan ditahan, lari pemeriksaan polis

Hilmi Malik
Mac 24, 2020 15:55 MYT
Suspek sedang menunggang motosikal bersama seorang lagi rakannya tidak memakai topi keledar ditahan polis untuk pemeriksaan sebelum bertindak melarikan diri.
Padah melarikan diri daripada pemeriksaan polis, seorang pengawal keselamatan ditahan dalam satu operasi Ops COVID-19 Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Selasa.
Ketika kejadian, suspek, Logendran Nair Vejayan, 24, sedang menunggang motosikal bersama seorang lagi rakannya dengan tidak memakai topi keledar ditahan polis untuk pemeriksaan sebelum bertindak melarikan diri.
Manakala rakannya yang juga pengawal keselamatan berjaya ditahan dan hanya dikenakan saman atas kesalahan tidak mempunyai lesen, tidak memakai topi keledar serta tidak mempunyai cukai jalan.
Bagaimanapun, cubaan suspek yang cuba melarikan diri gagal apabila dia dibawa oleh ibu bapanya setelah dihubungi pihak polis.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Bestari Jaya sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya.
Mengikut rekod polis, suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, merusuh dan mendatangkan kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan peraturan tiga, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
#Balai Polis Bestari Jaya #COVID-19 #COVID19 #lari dari pemeriksaan polis #PDRM #pengawal keselamatan #perintah kawalan pergerakan #Polis Diraja Malaysia
;