Pengawal keselamatan ditahan buat laporan palsu tuntut insurans

Norfarhiza Mohd Atar
Mei 13, 2023 09:45 MYT
Gara-gara mahu membuat tuntutan insurans selepas motosikalnya mengalami kerosakan dan tunggakan bayaran bulanan, seorang pengawal keselamatan sanggup membuat laporan palsu dengan mendakwa kenderaannya itu hilang.
BENTONG: Gara-gara mahu membuat tuntutan insurans selepas motosikalnya mengalami kerosakan dan tunggakan bayaran bulanan, seorang pengawal keselamatan sanggup membuat laporan palsu dengan mendakwa kenderaannya itu hilang.
Perbuatan lelaki berusia 33 tahun itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporannya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki itu membuat laporan pada Rabu lalu kira-kira jam 10.30 malam dengan mendakwa motosikal miliknya telah hilang di belakang sebuah premis kedai di Genting Permai, Genting Highlands.
"Pada Khamis sekitar jam 3 pagi bertempat di Balai Polis Genting Highlands, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Bentong telah merakam percakapan lelaki berkenaan.
"Hasil rakaman mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan yang diberikan lelaki itu selain pihak polis turut membuat siasatan di kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan premis tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut tidak berlaku dan lelaki itu hanya mereka-reka cerita disebabkan motosikalnya telah rosak serta mempunyai tunggakan bayaran bulanan.
"Tujuan lelaki itu membuat laporan polis adalah kerana ingin membuat tuntutan insurans.
"Susulan kejadian tersebut pihak polis telah membuat laporan ke atas lelaki itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu," ujarnya.
Zaiham menambah, sekiranya didapati bersalah suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2, 000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat laporan palsu selain tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukannya.
#pengawal keselamatan #laporan polis palsu #tuntutan insurans #Genting Highlands
;