Pengawal keselamatan cedera parah ditembak

Bernama
Oktober 14, 2014 16:24 MYT
Seorang pengawal keselamatan cedera parah selepas dipercayai ditembak dua lelaki di Kampung Lorong Nyior Cabang di Kota Baharu malam tadi.
Seorang pengawal keselamatan cedera parah di perut dan pinggul kiri selepas dipercayai ditembak dua lelaki di Kampung Lorong Nyior Cabang di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman berkata ketika kejadian pukul 9.25 malam itu, mangsa, Syed Zainuddin Syed Noh, 52, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa rakan di sebuah warung berdekatan rumahnya di kampung terbabit.
"Mangsa ditembak dari arah belakang oleh dua lelaki yang mengekorinya dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna putih merah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudiannya terjatuh dan ditindih motosikal miliknya sebelum menerima bantuan daripada orang awam yang melalui lorong tersebut.
Mangsa yang cedera akibat tembakan itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi serta dilaporkan masih belum sedarkan diri.
Rosli berkata daripada siasatan forensik yang dilakukan di tempat kejadian, polis menemui satu kelongsong peluru dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut sementara sebutir peluru ditemui dalam badan mangsa.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif tembakan," katanya.
#Kampung Lorong Nyior Cabang #pengawal keselamatan #Syed Zainuddin Syed Noh
;