Pengauditan forensik akan dijalankan ke atas Kementerian Belia dan Sukan

Azyyati Ahmad
Mac 21, 2016 22:35 MYT
Menurut Ali Hamsa, proses yang sama akan diperluaskan seterusnya kepada kementerian lain. - Gambar fail
Proses pengauditan forensik akan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensi di bawahnya bagi mengesan sebarang ketirisan, salah guna kuasa atau penyelewengan yang berlaku.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata laporan mengenainya dijangkan dikemukakan jabatan itu dalam suku pertama tahun ini.
Katanya, audit forensik ini akan meneliti peraturan kewangan kerajaan yang sedia ada dan sejauh mana ia dipatuhi pada pelbagai peringkat proses dalaman di KBS.
"Kita juga akan mengenal pasti kelemahan prosedur kewangan sedia ada KBS di mana Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil penelitian dan memaklumkan kepada kerajaan kelemahan prosedur berkenaan.
“Melalui proses (audit forensik) ini kita boleh lihat bagaimana perkara ini boleh terlepas pandang oleh pegawai integriti di kementerian itu sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya petang Isnin.
Katanya lagi, proses yang sama akan diperluaskan seterusnya kepada kementerian lain.
Dalam masa yang sama, beliau berkata tindakan penahanan kerja terhadap pegawai yang terlibat akan dilakukan sehingga prosiding di mahkamah terhadapnya selesai.
"Sekiranya didapati bersalah, pegawai akan digantung kerja dan tidak dibayar apa-apa emolumen sehingga lembaga tatatertib memutuskan hukuman yang wajar dikenakan ke atasnya yang membawa maksimum buang kerja,” katanya.
Sidang media tersebut susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu menahan sembilan orang termasuk seorang Setiausaha Bahagian KBS yang yang dipercayai mendalangi sindiket penyelewengan dana mencecah RM20 juta, baru-baru ini.
Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana dipercayai menggerakkan sindiket secara bersama hingga menyebabkan kerugian lebih RM100 juta kepada kerajaan.
BACA: Isu penyelewengan: Pegawai kanan KBS salah guna prosedur - Khairy
BACA: SPRM tahan pegawai kanan kementerian terima rasuah cecah RM20 juta
#Dr Ali Hamsa #Jabatan Audit Negara #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #ketua setiausaha negara
;