Pengaturcara Indonesia, Malaysia digesa bangunkan platform seumpama DeepSeek gaya Nusantara
Bernama
Februari 12, 2025 20:38 MYT
Februari 12, 2025 20:38 MYT
SHAH ALAM: Golongan pengaturcara muda di Indonesia dan Malaysia disaran membangunkan sistem berkonsepkan Nusantara yang setanding dengan DeepSeek, platform kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka dari China, kata Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arif Havas Oegroseno.
"Ia bukan soal mencuri teknologi sesiapa dan tiada halangan undang-undang untuk membangunkan sistem seperti itu.
"Jika China boleh melakukannya, kita juga seharusnya mampu kerana ia adalah sumber terbuka. Teknologi utama... dalam teknologi hak milik pula dilindungi oleh paten," katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk Muafakat Indonesia-Malaysia untuk Pertumbuhan Ekonomi dan Kestabilan Keselamatan ASEAN dalam Era Digital.
Arif Havas yang dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia bermula Selasa, sebelum itu memperkenalkan idea berkenaan dalam syarahannya dan kemudian diminta mengulas lanjut oleh pemberita.
Turut hadir pada sesi syarahan itu ialah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, serta Duta Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Pada 29 Jan lepas, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa chatbot AI DeepSeek dari China pantas meraih perhatian global dan menjadi pesaing kepada ChatGPT walaupun beroperasi dengan sumber yang jauh lebih terhad.
Platform itu bahkan mengatasi model terdahulu di beberapa rantau, termasuk Amerika Syarikat, sekali gus menyerlahkan kecekapan serta keberkesanannya dari segi kos.
Peningkatan populariti DeepSeek mencetuskan perbincangan dalam industri teknologi, khususnya kerana ia beroperasi dengan sumber yang lebih kecil berbanding pesaingnya. Prestasi DeepSeek berbanding peneraju industri seperti Google dan OpenAI turut memberi kesan kepada saham teknologi utama, terutamanya dalam sektor semikonduktor.
Sementara itu, dalam syarahannya, Arif Havas menekankan kepentingan kerjasama digital antara Indonesia dan Malaysia memandangkan ekonomi digital ASEAN kini bernilai US$260 bilion.
"Menjelang 2030, ekonomi digital kita dijangka mencapai trilion dolar. Ia merangkumi e-dagang, teknologi kewangan (FinTech), perkhidmatan media dan penghantaran makanan.
"Jika dilihat analisis global, Asia Tenggara jelas merupakan masa depan ekonomi...," katanya.
-- BERNAMA