Pengasuh tidak mengaku bersalah sebabkan bayi tiga bulan patah tangan
Astro Awani
Ogos 15, 2018 10:33 MYT
Ogos 15, 2018 10:33 MYT
Seorang pengasuh hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi lelaki tiga bulan sehingga mangsa patah tangan kanan.
Tertuduh, Ros Azlina Mohd Ismail, 46, telah didakwa bertindak secara cuai melakukan kesalahan itu di rumahnya di Seri Iskandar, Perak Tengah kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Ogos lalu.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada sembilan orang anak itu didapati bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa yang berusia tiga bulan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan menanggung sembilan orang anaknya selepas Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman mencadangkan hakim mengenakan jaminan berjumlah RM20,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan mangsa telah dihantar ke rumah pengasuh terbabit pada 8 Ogos lalu sebelum pengasuh terbabit menghubungi bapa mangsa memberitahu bayi terbabit tidak berhenti menangis.
Pada hari sama, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan mendapati tangan bayi terbabit mungkin dipulas sehingga patah.
Susulan itu satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian terbabit oleh bapa mangsa pada 9 Ogos.
#bayi
#dfera
#Ipoh
#Kanak-kanak
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#mangsa
#patah tangan
#pengasuh
#tidak mengaku bersalah