Pengasuh taska disyaki terlibat kematian bayi empat bulan ditahan

Bernama
Januari 12, 2025 15:25 MYT
Wanita warga tempatan berusia awal 30-an itu telah dilepaskan dengan jaminan polis. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis menahan seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) dipercayai berkait kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan 3 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Akmalrizal Radzi bagaimanapun berkata wanita warga tempatan berusia awal 30-an itu telah dilepaskan dengan jaminan polis.
"Pihak polis kini sedang menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, beliau dilaporkan berkata siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh tersebut yang didapati telah meninggalkan mangsa tanpa pemantauan sewajarnya dalam tempoh yang lama.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim sebelum ini dilaporkan berkata taska yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi itu telah diarahkan tutup pada Selasa lepas (7 Jan).
-- BERNAMA
#pengasuh cuai #bayi meninggal dunia #kes kematian #polis
;