Pengasuh tampar pipi, ketuk dahi bayi didenda RM10,000
Bernama
Januari 24, 2024 17:34 MYT
Januari 24, 2024 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas pengasuh yang mencederakan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan dengan menampar pipi dan mengetuk dahi mangsa sehingga meninggalkan kesan lebam serta calar.
Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu selepas Norliza Osman, 42, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 18 bulan jika gagal membayar denda selain mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Norliza yang dipertanggungjawabkan menjaga bayi itu telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di rumahnya di Jalan P9 G Fasa 2, Putrajaya dekat sini dari 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 2 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak juga 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Norliza yang tidak diwakili peguam merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana mempunyai dua anak masih bersekolah dan perlu menguruskan kehidupan seharian mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.
-- BERNAMA