Pengasuh mengaku tidak bersalah aniaya bayi

Bernama
November 22, 2023 17:36 MYT
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
SEPANG: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia empat bulan sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Nur Anis Idayu Mohd Khir, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Southville City, Dengkil pada 15 Nov lepas antara 11 pagi hingga 5.43 petang.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada tertuduh kerana ia kesalahan yang tidak boleh dijamin namun mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 jika mahkamah membenarkannya.
Peguam Ridzwan Warisi memohon mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin atas alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak dapat mendekati saksi serta mangsa memandangkan telah berpindah ke rumah kakak iparnya.
Hakim Dr Azrol Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain dilarang mengganggu saksi dan mangsa.
Mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan kes.
Nur Anis Idayu yang memakai baju kurung berwarna hijau hadir di mahkamah ditemani suami dilihat menangis teresak-esak selepas membayar wang jaminan.
-- BERNAMA
#pengasuh #aniaya bayi #bayi cedera #Hukuman
;