Pengasuh mati diikat tangan, mulut ditutup
Astro Awani
Mac 8, 2020 21:20 MYT
Mac 8, 2020 21:20 MYT
Seorang pengasuh kanak-kanak ditemui mati dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditutup.
Kejadian disedari seorang wanita yang ingin menghantar anaknya di rumah mangsa di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani kira-kira pukul 7.30 pagi Ahad.
Wanita terbabit memberi salam beberapa kali namun tidak disahut.
Dia kemudiannya terlihat pintu besi berkunci dengan mangga, bagaimanapun, pintu kaca di bahagian dalam didapati terbuka.
Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku wanita terbabit bertindak menghubungi polis.
Anggota Unit Peronda (MPV) yang tiba tidak lama kemudian telah memanjat tingkap bilik utama rumah dan ternampak mangsa dalam keadaan tertiarap di atas lantai.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Shamsudin Mamat, kedua-dua tangan mangsa telah diikat dari belakang dengan menggunakan wayar pengecas telefon berwarna putih.
Manakala mulut mangsa telah diikat dari bahagian belakang dengan kain tudung berwarna hijau.
Mangsa dikenal pasti Haziah Yeap Osman, 58, seorang ibu tunggal dan tinggal bersendirian di rumah itu selepas bercerai tiga tahun lalu.
Menurut Shamsudin, ketika ditemui mangsa lengkap berpakaian dan kematian mangsa dianggarkan tidak melebihi 12 jam.
Polis kini sedang mengenalpasti motif kejadian dan adakah mangsa dirompak dan dibunuh.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.